Itu taktik yang dilakukan satu sindiket untuk mengaburi mata pihak berkuasa malah lebih licik premis itu dilengkapi enam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) selain mempunyai lorong rahsia.

Bagaimanapun, helah itu berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dalam satu serbuan dijalankan pada pukul 3.15 petang di sini hari ini.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, operasi yang dilaksanakan tiga pegawai dan 14 anggota itu berjaya memberkas tiga lelaki berusia 23 hingga 39 tahun.

“Dalam operasi ini kita berjaya merampas 1,590 paket rokok seludup pelbagai jenama bernilai kira-kira RM15,000.

“Kita juga berjaya menemui sejumlah mercun dan bunga api bernilai RM1,300 yang disorok di dalam premis bersebelahan,” katanya dalam sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua di sini hari ini.

Khon Chiang berkata, ketika diserbu kedai menjual rokok itu mempamerkan rokok sah dan menyorokkan rokok seludup di dalam laci kaunter sebelum dikeluarkan mengikut permintaan pelanggan.

Jelasnya, selepas pemeriksaan dilakukan, premis tersebut mempunyai lorong rahsia menghubungkan ke bahagian stor simpanan di kedai menjual pakaian terpakai bersebelahan kedai menjual rokok berkenaan.

Khon Chiang memberitahu, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai pekerja kedai terbabit yang bekerja mengikut syif serta dibayar komisen berdasarkan jumlah rokok yang berjaya dijual.

Jelasnya, mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - K! ONLINE