Zuraida berkata, pihaknya telah meminta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Muhammad Hamdan Wahid untuk mengkaji semula proses dan ujian fizikal agar pengambilan golongan itu dapat dipermudahkan.

"Ketika ini peluang pekerjaan (anggota bomba wanita) dibuka untuk semua tetapi golongan wanita kurang memohon kerja sebagai anggota bomba kerana mereka menjangkakan kerja ini tidak sesuai dengan melibatkan banyak tugas-tugas fizikal yang agak kasar seperti panjat bangunan atau memadamkan kebakaran.

"Sebenarnya, ada banyak lagi tugas-tugas anggota bomba yang memerlukan penglibatan anggota wanita seperti memberi latihan kesedaran dan kaunseling kepada orang awam khususnya suri rumah mengenai program-program pencegahan kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama warga JBPM Perak yang turut disertai Pengarahnya, Azmi Osman di Balai Bomba Meru Raya di sini hari ini. - Bernama