Tinjauan Kosmo! Online di sekitar bazar sekitar kompleks beli-belah di daerah ini mendapati orang ramai sanggup berbelanja sehingga RM170 bagi membeli satu songkok terutama dari kain baldu Korea.

Seorang peniaga, Mohammad Huzaifah Abd. Rahman, 36, memberitahu, setiap songkok mempunyai peminatnya tersendiri bukan sahaja untuk beribadah malah menjadi trend tersendiri bagi pemakainya.

Katanya, songkok dengan kain baldu khususnya Korea lebih mudah dijaga, tidak mudah hilang warnanya menjadi keperangan serta tahan lasak.

"Ada banyak jenama songkok kini namun sekiranya ianya menggunakan kain baldu Korea harganya memang mahal sikit.

"Kebiasaannya songkok jenis ini dibuat pada ketinggian 4 hingga 5 inci (10 - 12 sentimeter)," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohammad Huzaifah yang telah menjual songkok sejak 10 tahun lalu menjelaskan kebanyakan bekalan stoknya diperoleh dari Johor dan lebih 700 songkok pelbagai jenis telah dijual sepanjang bulan Ramadan ini.

Bagi seorang pekerja sambilan kedai songkok, Nurain Ramli, 22, berkata, pemilihan jenis baldu amat penting sebagai pilihan utama mereka yang mementingkan kualiti dan keselesaan.

"Bagi saya, pemakaian songkok adalah salah satu tradisi dan lambang lelaki Melayu sejak dulu lagi," jelasnya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohd. Firdaus Mohd. Kanal, 33, berpendapat songkok memberikan imej kemas dan berketrampilan terutama pada Aidilfitri berbanding kopiah.

"Semuanya citarasa masing-masing namun saya beranggapan bahawa penutup kepala paling sesuai semasa Aidilfitri adalah songkok yang membuatkan kita lebih kacak," katanya. - K! ONLINE