Hasrat itu dinyatakan Menteri Perdagangan, Industri dan Pelancongannya, Mohamoud Hassan Sa'ad yang mengadakan kunjungan tidak rasmi dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Menurutnya, Somaliland ketika ini tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia namun ianya mungkin dapat direalisasikan pada masa depan sekaligus membuka peluang-peluang baharu yang menguntungkan kedua-dua buah negara.

"Dengan populasi 4.5 juta orang dengan Islam agama rasmi, Republik Somaliland sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan Malaysia.

"Kita berharap Malaysia dapat mengiktiraf hubungan diplomatik dengan Republik Somaliland sebagaimana negara-negara lain seperti United Kingdom dan negara-negara arab lain," katanya.

Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri Luar Republik Somaliland, Liban Yusuf Osman serta para pegawai kerajaan.

Tambah Mohamoud Hassan, republik itu mempunyai sumber asli yang berpotensi besar untuk diterokai bersama-sama Malaysia seperi mineral, minyak dan gas asli termasuklah pelabuhan yang mengawal laluan perdagangan di Laut Merah.

Malah, Malaysia juga turut mempunyai potensi dan sumber yang boleh dimanfaatkan oleh republik itu antaranya mintak sawit, perkayuan, perindustrian, pendidikan serta pelancongan kesihatan dan perubatan (medical /health tourism).

Sementara itu, Abu Bakar ketika ditemui menyatakan akan membawa hasrat delegasi kerajaan republik itu untuk dipanjangkan bagi perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malah, perkara itu jelas beliau perlu diperhalusi bagi memastikan hubungan serta kerjasama tersebut memberi manfaat yang seimbang kepada kedua-dua negara termasuklah hubungan negara-negara serantau yang lain. - K! ONLINE