Bekas wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib, 34, mengakui berasa lega apabila dimaklumkan kedua-dua akhbar itu akan terus diterbitkan.

"Akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia merupakan dua wadah nasional dalam memperjuangkan isu-isu rakyat dan menjadi lidah warga Malaysia sekian lama. 

"Saya gembira apabila penerbitan kedua-dua akhbar ini diteruskan dan berharap keadaan syarikat (Kumpulan Utusan) kembali teguh," ujarnya yang kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pahang. 

Sementara itu, suri rumah, Fairus Mohd., 35, pula berkata, Kosmo! sentiasa menjadi akhbar pilihan keluarga dan saudara maranya sejak beberapa tahun lalu. 

"Isnin lalu, apabila dimaklumkan Kosmo! dan Utusan Malaysia akan diterbitkan buat kali terakhir pada hari ini, saya berasa sangat sedih. 

"Tapi pagi tadi, saya gembira apabila melihat kedua-dua akhbar ini ada dijual. Saya masih boleh meneruskan rutin membaca Kosmo! pada setiap pagi," katanya. 

Dalam pada itu, Mohd. Faris Hilmie Ali, 29, mengakui turut mula mengajak rakan-rakannya membeli naskhah Kosmo! dan Utusan Malaysia setiap hari.

"Utusan Malaysia memiliki sejarah yang panjang dalam membina sebuah negara yang merdeka.

"Bulan kemerdekaan pada Ogos ini juga terselit kisah hebat yang pernah diperjuangkan para wartawan Utusan. Khazanah ini harus kita pertahankan," ujarnya. - K! ONLINE