Pengerusi BN negeri merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, meskipun kaum Cina dan India adalah kaum minoriti tetapi undi mereka adalah penentu kejayaan BN di Parlimen Kemaman yang kini mendapat perhatian pelabur luar terutama dari China.

"Kita kena kerja sebagai satu pasukan (bagi menawan kembali DUN Chukai) walaupun kaum Cina (dan India) tak ramai tetapi undi anda penting bagi memastikan kemenangan BN pada PRU14 kelak, sebab kita janji kalau BN menang di Chukai kita akan jadikan Kemaman bandar yang besar dan maju.

"Tapi kita kena kukuhkan politik dan tunjukkan solidariti agar politik kita lebih kukuh sebab kalau tidak ada politik kukuh, tiada pelabur yang datang untuk melabur," katanya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran 23 NGO kaum Cina Parlimen Kemaman, di sini, semalam.

Dihadiri lebih 5,000 penduduk Kemaman, Ahmad Razif, isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria dan Pengerusi Penyelaras DUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera turut memberikan angpau kepada 430 warga emas pada majlis itu. - Bernama