Sofi berkata demikian ketika ditemui petugas media sejurus dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman tiga hari bermula Rabu lalu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor sebentar tadi.

"Saya bersyukur kepada Allah. Alhamdulillah saya dibebaskan hari ini. Ini adalah ujian daripada Allah untuk kita semua hamba-Nya yang lemah. Sekarang saya mahu balik rumah untuk berehat," ujarnya.

Dalam masa sama, pelakon KL Gangster itu enggan memberi sebarang komen berhubung laporan polis pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil yang mendakwa dianiaya tiga rakan artis dengan memasukkan dadah ke dalam minumannya. 

"Saya tiada komen untuk itu (laporan polis Farid Kamil)," katanya ringkas. 

Terdahulu, pelakon filem KL Gangster itu ditahan polis pada 7 Februari lalu kerana positif dadah jenis ganja selepas hadir ke Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor untuk memberi keterangan terhadap laporan yang dibuat Farid pada 31 Januari lalu. - K! ONLINE