Ketua Pegawai Eksekutif SNZ Venture, Datuk Salman Nordin berkata, sehingga kini pihaknya telah membuka 14 gerai Shaa Burger di sekitar daerah Kinta dan Taiping sejak ia diperkenalkan Julai lalu.

"SNZ Venture menyediakan program usahawan yang lengkap untuk bakal usahawan yang mahu menyertai program ini kerana ia berpotensi tinggi dan bertepatan dengan hasrat kami untuk membantu orang ramai menjana pendapatan.

"Setakat sebulan Shaa Burger ini dibuka, sambutan yang menggalakkan diterima daripada orang ramai dan kita gembira usahawan di bawah program ini mampu memperoleh hasil jualan lebih RM400 sehari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut sempena Hari Raya Aidiladha bersama gelandangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini malam tadi.

Dalam program tersebut, SNZ Venture bersama usahawan Shaa Burger mengagihkan 50 pek makanan terdiri daripada burger keluaran mereka serta lemang dan kuih raya kepada gelandangan sekitar bandar raya Ipoh.

Tambah Salman, pihaknya berhasrat menjadikan negeri Perak sebagai perintis kepada pasaran perniagaan Shaa Burger.

"Sebagai langkah permulaan, SNZ Venture telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan lesen perniagaan mereka.

"Selain itu, kita juga merancang untuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) bagi mencari usahawan dalam kalangan asnaf," katanya.

Syarikat yang berpusat di Jalan Kebun Nenas, Klang, Selangor itu telah terlibat dalam industri produk halal termasuk sos cili, sos tomato, sos tiram, kicap dan minyak masak sejak 2011. - K! ONLINE