Kumpulan itu dianggotai lapan pelajar berusia 14 hingga 18 tahun yang mengalami masalah pembelajaran namun ia bukan penghalang untuk berjaya meskipun sebahagiannya tidak pandai membaca.

Mereka yang terdiri daripada Mohamad Asyraf Mohd Asri,14 (ketua kumpulan); Mohamad Syahrul Mohd Sabri, 16; Mohamad Syahril Mohd Sabri, 16; Mohd Aiman Ismail, 17; Mohd Akmal Rizal Zuzan,18; Mohd Haikal Nazri,18; Mohd Anan Razali,18 dan Mohd Che Arshad Che Lah,18 mempersembahkan lagu nasyid bertajuk 'Sirah Nabi' pada pertandingan itu.

Jurulatih nasyid yang juga guru pendidikan khas, Warah Husin, 55, berkata, ia sudah menjadi cabaran yang lumrah para guru untuk mengajar pelajar ini kerana mereka tidak seperti pelajar biasa.

Katanya, dia hanya menulis satu baris lagu nasyid itu yang juga merupakan ciptaannya di papan hijau setiap hari yang diulang sehingga yakin dihafal pelajar sebelum ditambah kepada baris seterusnya pada hari berikutnya.

"Mereka ada masalah tumpuan dan sukar membaca jadi kita sebagai guru yang mesti menjadi model cara menyanyi dan membuat gaya sehingga mereka dapat tiru dan hafal.

"Sebelum ini kami hanya mampu berlatih sejam seminggu dalam kelas semasa subjek Muzik kerana terikat dengan proses pengajaran dan pembelajaran lain, jadi tempoh cuti sekolah kami berkorban berlatih empat jam sehari setiap hari," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu festival ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wa­nita negeri, Mumtaz Md. Nawi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abdullah Mat; Penaung Ihsan, Datuk Wan Rosdi Mat Rashid dan Pengasas Ihsan, Ahmad Bustaman Sulaiman.

Festival Amal Nasyid Terbuka 2019 anjuran Pertubuhan Membantu Orang Kurang Upaya (OKU) negeri Kelantan (Ihsan) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri Kelantan ini telah menampilkan 16 kumpulan nasyid yang bertanding dalam tiga kategori.

Bagi naib johan kategori pendidikan khas dimenangi SMK Sultan Ibrahim (2), Pasir Mas dan tempat ketiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wakaf Bharu.

Manakala johan kategori sekolah menengah pula disandang Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa; naib johan SMK Mengkebang, Kuala Krai dan ketiga SMK Tanjung Chat .

Bagi kategori sekolah rendah pula, johan dimenangi SK Sultan Ismail (4) dan tempat kedua dan ketiga menjadi milik dua kumpulan dari SK Pengkalab Chepa.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM700, manakala tempat kedua RM500 dan tempat ketiga RM300 selain masing-masing turut menerima pingat, piala dan hamper.

Sementara itu, Pengerusi Ihsan, Muhammad Ikhwan Ahmad Bustaman berkata, pihaknya berjaya mengumpul dana lebih RM30,000 untuk mengisi tabung pertubuhan itu hasil daripada majlis makan malam sempena festival itu. - K! ONLINE