Itu kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika me­nyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Festival Demokrasi Kuala Lumpur 2019 pada Sabtu lalu.

Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, kea­daan ini juga boleh berlaku kepada kerajaan Malaysia baharu yang masih tidak dapat menunaikan janji-janji yang dibuat kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau juga menyedari kini sudah bermula pu­singan untuk memperlekehkan kerajaan PH. Pusingan ini dilihat berlaku tidak sampai setahun PH memerintah negara iaitu kira-kira baru sembilan bulan sahaja.

Pada awal pemerintahan, PH dan rakyat ibarat pasangan pengantin baharu, semuanya indah belaka. Rakyat sanggup membantu kerajaan dengan menyalurkan sumbangan wang dalam Tabung Harapan bagi melangsaikan hutang negara. Sehingga 14 Januari lalu, jumlah kutipan tabung itu melebihi RM202 juta. 

Bagaimanapun, sekarang semuanya berubah. Bukan sahaja diperlekeh­kan, malah kewujudan skuad ‘membawang’ dalam kalangan rakyat menambahkan lagi api kebencian terhadap kerajaan PH. Sebelum PRU-14 sehingga hujung tahun lalu, ramai yang membantai Barisan Nasional (BN) dan terus mengutuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesalahannya yang masih belum terbukti di mahkamah.

Semua komen serta pujian yang baik hanya kepada PH serta pemimpinnya. Bagaimanapun, sekarang, posting indah seperti ini dalam media sosial dan portal berita sukar dilihat.

Hampir kesemua komen daripada skuad ‘membawang’ ini berkaitan sesuatu isu hanya memperlekehkan kerajaan Malaysia baharu.

Skuad ‘membawang’ ini bukan merupakan ‘tentera’ siber BN untuk mencemarkan imej baik PH dan pemimpinnya. Sebaliknya mereka adalah dalam kalangan rakyat sendiri yang kecewa de­ngan PH kerana gagal me­laksanakan janji.

Sebelum ini jika ada pemimpin PH yang menangis di atas pentas politik, rakyat akan turut sama menangis. Namun sekarang mengalir air mata darah sekali pun orang tidak akan peduli malah mengutuk kerana menganggapnya sebagai lakonan. Pelbagai isu dalam kepimpinan kerajaan PH berlaku sejak kebelakangan ini, paling hangat adalah isu kelayakan akademik segelintir pemimpin kerajaan.

Rakyat sebenarnya tidak kisah pun jika seseorang pemimpin kerajaan itu tiada kelayakan akademik yang tinggi tetapi biarlah jujur dengan mendedahkan perkara sebenar.

Ketika ini, BN selaku pembangkang sudah mampu tersenyum. Jika sebelum ini pemimpinnya dikutuk tetapi sekarang semakin diterima baik. 

Najib adalah antara pemimpin yang bertuah apabila diterima semula dalam arena politik. Fenomena ‘Apa malu bossku’ menaikkan kembali ‘sahamnya’. Ke mana sahaja beliau pergi, pasti ramai rakyat yang mahu mendekatinya. 

Bagaimanapun, pusi­ngan seterusnya dalam dunia politik negara masih jauh lagi. PH mempunyai kira-kira empat tahun sebelum PRU-15 untuk me­lakukan apa sahaja bagi mengekalkan penguasaan di Putrajaya.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih pada 2 Mac depan adalah petunjuk awal sama ada rakyat masih menerima kerajaan PH.

Penulis percaya jika kerajaan PH mampu menunaikan hampir semua janji, mereka akan terus berkuasa selepas PRU-15 namun persoalannya adakah ia mampu ditunaikan?