Pada saingan tersebut, barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Datuk Misbun Sidek kembali membariskan skuad terkuat negara dengan meletakkan kembali Datuk Lee Chong Wei serta pasangan beregu utama, Goh V Shem-Tan Wee Keong.

Kedua-dua pemain tersebut berdepan detik cemas apabila terpaksa beraksi dalam saingan rubber set yang menyaksikan Chong Wei menewaskan Wang Tzu Wei 17-21, 21-13, 21-15 manakala V Shem-Wee Keong menundukkan Lee Jhe Huei-Lee Yang dengan keputusan 21-14, 19-21, 21-16.

Rentak cemerlang negara diteruskan menerusi Lee Zii Jia selepas pemain remaja itu tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Hsu Jen Hou dengan straight set 21-16, 21-13.

Beregu kedua negara yang diwakili oleh Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut cemerlang dengan menewaskan Lu Ching Yao-Yang Po Han dengan keputusan 21-14, 20-22, 21-14 dalam pertarungan yang memakan masa selama 70 minit.

Perseorangan ketiga negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin pula berada dalam kelas tersendiri untuk menewaskan Lin Yu Hsien 21-19, 21-15. - K! ONLINE