SKMM dalam satu kenyataan berkata, jumlah nilai kompaun itu adalah 20.4 peratus lebih tinggi berbanding jumlah nilai yang dikeluarkan sepanjang tahun lalu iaitu RM3.18 juta. 

Menurutnya, kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Akhir Prabayar, Kod Amalan Am Pengguna dan Standard-Standard Mandatori.

"Sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 63 kompaun bernilai RM2.32 juta telah dikeluarkan, manakala bagi tempoh antara April sehingga 31 Julai lalu pula, SKMM telah mengeluarkan sebanyak 44 kompaun bernilai RM1.51 juta.

"Daripada 44 kompaun yang dikeluarkan, syarikat YTL Communications Sdn. Bhd. telah dikenakan kompaun tertinggi dengan 15 kompaun bernilai RM750,000," katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, SKMM berkata, ia diikuti syarikat Symphonet Sdn. Bhd. yang dikenakan 15 kompaun bernilai RM150,000 dan Maxis Broadband Sdn. Bhd. sebanyak enam kompaun bernilai RM250,000. 

"Syarikat Digi Telecommunications Sdn. Bhd. dan Enabling Asia Tech Sdn. Bhd. masing-masing dikenakan sebanyak dua kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM200,000.

"Syarikat Celcom Axiata Berhad, Tune Talk Sdn. Bhd. Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn. Bhd. pula masing-masing dikenakan satu kompaun dengan nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM160,000," katanya.

SKMM berkata, tindakan itu membuktikan ketegasan pihaknya dalam menangani isu-isu membabitkan kepentingan pengguna. 

"Usaha ini akan berterusan untuk memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi menawarkan perkhidmatan yang bermutu selain melindungi dan memantapkan hak pengguna.

"Pada masa sama, SKMM juga memberi peringatan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi agar sentiasa mematuhi syarat lesen, Kod Amalan Am Pengguna dan instrumen perundangan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 demi kepentingan bersama," katanya. -K! ONLINE