Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, skim tersebut mengutamakan perkhidmatan klinik perubatan swasta umum yang sudah berdaftar untuk membantu golongan B40.

Jelasnya, melalui skim itu, penerima yang layak boleh menjalankan saringan kesihatan di klinik perubatan swasta umum yang memaparkan pelekat khusus PeKa B40.

"Selain saringan kesihatan, penerima PeKa B40 juga boleh menerima bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

"Sehingga 12 April lalu, sebanyak 423 buah klinik perubatan swasta umum telah berdaftar bagi skim ini sebagai Klinik PeKa B40," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dzulkefly, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta pasangannya yang berdaftar berusia 50 tahun ke atas pada tahun ini layak secara automatik untuk menyertai skim ini dan ia percuma serta tiada pendaftaran khusus diperlukan.

Mengulas lanjut, ujarnya, sebagai permulaan PeKa B40 akan melalui fasa ujian operasi dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai kelancaran logistik dan mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh yang terlibat.

"Tempoh ujian akan berjalan sehingga PeKa B40 dilancarkan sepenuhnya kelak.

"Klinik perubatan swasta umum yang lain juga diseru untuk mendaftar sebagai Klinik PeKa B40 secara dalam talian. Ia bagi memudahkan penerima skim ini menjalankan saringan kesihatan di klinik-klinik berhampiran mereka," katanya.

Senarai penuh klinik PeKa B40, semakan kelayakan dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.pekab40.com.my atau hubungi talian 03-2730 7575. - K! ONLINE