Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, skim mySalam kini turut merangkumi rawatan yang diterima di hospital perubatan universiti dan juga hospital angkatan tentera setelah pesakit mendapatkan pengesahan doktor pakar untuk menerima manfaat skim tersebut. 

"Sebanyak empat buah hospital tambahan tersebut bertempat di Kuala Lumpur iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. 

"Sementara itu, hospital di negeri lain adalah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan; Hospital UiTM Sungai Buloh; Hospital Angkatan Tentera, Lumut, Perak; Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka; Hospital Tentera Darat, Gemas, Negeri Sembilan dan Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Januari lepas merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara Kerajaan Persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd. 

Perlindungan takaful itu disediakan dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap salah satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk penyakit kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harian sebanyak RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun. 

Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Januari lalu merupakan satu skim perlindungan kesihatan percuma untuk golongan berpendapatan rendah atau B40 yang menjalani rawatan di hospital kerajaan.

"Skim ini ialah hasil kerjasama dengan syarikat insuran yang telah menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 Bilion ke dalam dana amanah mySalam," katanya. -K! ONLINE