Ketua Komunikasi Korporat, Bahagian Komunikasi dan Strategi Korporat Kementerian Kewangan, Zakiah Hanum Kassim berkata, meskipun baru dilancarkan Januari lepas, kerajaan menerima permohonan daripada 2,474 penerima skim melibatkan pembayaran berjumlah RM349,600 bagi tempoh Mac hingga awal Jun.

Pembayaran itu, katanya, melibatkan dua jenis pembayaran iaitu bagi faedah hospital dan yang mengalami penyakit kritikal.

Bayaran berkenaan meliputi RM248,000 kepada 737 penerima yang mengalami penyakit kritikal dan RM101,600 lagi dibayar kepada 1,737 penerima bagi pembayaran faedah hospital.

“Kerajaan kini giat menjalankan pelbagai program kesedaran bagi memberi maklumat terutama kepada penerima-penerima skim yang layak supaya mereka tampil membuat permohonan dan menerima faedah skim ini,” katanya ketika dihubungi Bernama mengenai perkembangan terkini perlaksanaan mySalam.

Skim perlindungan mySalam dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad 24 Januari lepas adalah perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara kerajaan persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd, dengan dana permulaan RM2 bilion.

Kira-kira 3.69 juta penerima, terdiri daripada golongan B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR), berumur 18 hingga 55 tahun serta pasangan layak menerima elaun RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun jika menjalani rawatan di hospital dan jika disahkan menghidap satu daripada 36 jenis penyakit kritikal, bayaran tunai sekali gus (one-off) RM8,000 akan dikredit ke akaun mereka. - Bernama