Suspek yang terdiri daripada seorang wanita dikenali Siti berusia 32 tahun bersama anak lelakinya, 13 tahun dan seorang lagi remaja lelaki berusia 20 tahun ditahan ketika khayal dadah di sebuah rumah di Kampung Jeram, Alor Gajah di sini pada pukul 2 pagi,Jumaat lalu. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, tangkapan ke atas kumpulan Siti Jeram itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada pihak pengurusan sebuah masjid di Rantau Panjang, Masjid Tanah sehari sebelumnya.

"Bertindak atas maklumat dan rakaman kamera litar tertutup  kita berjaya mengesan tiga suspek tersebut. 

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian suspek wanita yang juga seorang janda menunggu di dalam kereta jenis Perodua Viva manakala dua remaja lelaki termasuk anaknya yang berusia 13 tahun masuk ke dalam masjid untuk mencuri," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ayer Keroh di sini hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian kumpulan tersebut yang aktif sejak November lalu hanya memperolehi wang tunai antara RM20 dan RM30  yang dipercayai digunakan untuk membeli dadah.

Pemeriksaan mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut memiliki rekod jenayah berkaitan dadah.

Dalam tangkapan berasingan, Abdul Jalil memberitahu, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun dipercayai terbabit dalam lima kes jenayah sama dalam serbuan di sebuah rumah di Masjid Tanah, Sabtu lalu.

Siasatan mendapati lelaki tersebut mengenali anggota kumpulan Siti Jeram dan siasatan terperinci mengenainya sedang dijalankan.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE