Di dunia ini, sistem demokrasi adalah sistem pemerintahan yang paling banyak digunakan iaitu oleh kira-kira 123 daripada 195 negara.

Rakyat di sesebuah negara demokrasi mempunyai hak-hak asas tanpa me­ngira sama ada kaya ataupun miskin seperti hak bersuara, hak kebebasan, hak mengamalkan agama dan hak mengundi.

Namun, tanpa mengira siapa diri atau status anda, anda dan juga mereka yang lain mempunyai hak untuk bersuara dan mencorakkan pemerintahan negara menerusi kertas undi. Inilah yang dikatakan kuasa rak­yat.

Ramai pakar politik me­nganggap sistem demokrasi adalah sistem pentadbiran paling baik di dunia. Ia memberi ruang untuk mencegah dan me­nguruskan konflik tanpa menum­pahkan darah selain membenarkan pelbagai pandangan diketengahkan menerusi pelbagai gelanggang termasuk media massa, media sosial dan debat terbuka.

Sepatutnya, berdasarkan bilangan begitu banyak negara yang mengamalkan demokrasi dan keistimewaan ciri demokrasi itu sendiri yang mengutamakan keamanan, dunia pasti­nya menyaksikan konflik yang semakin berkurangan.

Namun, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun lalu, perang antara negara-negara di dunia mencatatkan penurunan sejak sedekad lalu.

Bagaimanapun, perang ataupun konflik dalam negara pula dilaporkan me­ningkat, semakin kerap dan menjadi semakin berdarah dengan angka korban yang tinggi sejak 2011.

Situasi tersebut banyak berlaku di negara-negara yang baru mengamalkan demokrasi acuan Barat seperti di negara-negara Afrika, manakala perjua­ngan menuntut demokrasi seperti di Asia Barat pula membawa kepada perang saudara dengan lebih ba­nyak kematian berlaku.

Penulis pula berpendapat demokrasi adalah cermin kepada institusi pentadbiran dan masyarakat itu sendiri dengan faktor ekonomi menjadi faktor utama. Sekiranya, institusi pentadbiran sesebuah negara itu teguh dan rak­yatnya boleh bertoleransi, ia akan diterjemahkan kepada sistem demokrasi yang mapan.

Sebaliknya, jika institusi pentadbiran goyah dan rakyat pula radikal ia akan menjadi katalis kepada sistem demokrasi yang goyah dan bermasalah.

Harus juga diingat, ke­stabilan ekonomi juga merupakan antara faktor paling penting kepada kestabilan negara dan kemakmuran rakyatnya selain demokrasi.

Namun, demokrasi juga banyak kelemahannya se­perti sukar untuk kerajaan melaksanakan dasar yang difikirkan sesuai dan terbaik untuk negara tetapi tidak popular dan ditentang rakyat.

Baki negara yang ada pula mengamalkan peme­rintahan lain termasuk pemerintahan monarki mutlak, sistem komunis ataupun diktator. Namun, negara berkenaan tidak semestinya mundur atau bergolak hanya kerana ia tidak mengamalkan sistem pemerintah demokrasi.

Salah sebuah negara tidak berpaksikan demokrasi, namun menca­tat pengaruh besar dalam senario politik, ketenteraan dan ekonomi dunia ialah China.

Beberapa negara di Teluk yang tidak demokrasi tetapi rakyatnya hidup mewah dan aman.Walau apapun corak pemerintahan sesebuah negara, ia haruslah melin­dungi hak asasi rakyatnya. Seperti kata Mahatma Gandhi:“Apakah bezanya kepada mereka yang mati, anak yatim dan pelarian, sama ada kemusnahan gila itu berlaku di bawah nama kuku besi atau sesuatu yang lebih mulia iaitu kebebasan atau demokrasi?”