Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Ab. Mutalib berkata, jumlah tersebut meningkat 5.6 peratus iaitu sebanyak 27,833.89 berbanding 26,356.53 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sisa makanan merupakan penyumbang terbesar peningkatan tersebut, selain barangan lusuh termasuk perabot yang dibuang ketika aktiviti mengemas rumah sempena Hari Raya Aidilfitri dilakukan.

"Lebihan makanan daripada aktiviti pembelian dan penjualan di bazar-bazar Ramadan antara penyumbang peningkatan sampah yang dikutip sepanjang bulan lalu.

"Sementara itu, bagi enam hari syawal pertama tahun ini, sisa kutipan sampah domestik yang dikutip ialah sebanyak 4,588.40 tan metrik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairuladha berkata, pihaknya berharap rakyat negeri ini memandang serius jumlah peningkatan itu kerana secara langsung ia mempamerkan sikap pembaziran yang tidak seharusnya berlaku.

"Tabiat pembaziran ini dapat dielakkan sekiranya rakyat mengamalkan konsep 5R iaitu Refuse (menolak), Reduce (mengurangkan), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula) dan Recovery (pemulihan/diperbaharui).

"Sebagai contoh, mereka yang ketika ini ingin mengadakan jamuan Hari Raya dinasihatkan menggunakan pinggan mangkuk yang boleh dicuci dan bukannya pinggan plastik atau kertas pakai buang bagi mengurangkan sisa sampah," jelasnya. - K! ONLINE