Memandangkan umum masih menganggap penyakit mental sebagai sesuatu yang 'taboo', maka pesakitnya enggan mendapatkan rawatan mahupun membincangkan keadaan mereka. Justeru, menybabkan banyak kes berkaitan kesihatan mental tidak diagnosis.

Baru sahaja menyebut mengenai kemungkinan menemui ahli terapi, pakar psikiatri dan saranan supaya mendapatkan ubat tertentu, amat mengejutkan bahawa umum akan segera menganggap seseorang itu sebagai sudah 'gila'; yang akhirnya menyebabkan pesakit itu menderita dalam diam.

Berkongsi mengenai cara mengurangkan stigma berhubung penyakit mental, pakar psikiatri yang berpangkalan di Dublin, Dr Shaeraine Raaj berkata pelbagai disiplin serta usaha berterusan amat diperlukan untuk mendepani stigma itu.

"Rakyat Malaysia mengaitkan stigma dengan rasa malu untuk menerima diagnosis penyakit, mendapatkan ubat-ubatan atau menghadiri kaunseling psikiatri," katanya kepada Bernama dalam temu bual telefon di sini baru-baru ini.

"Oleh itu, kementerian-kementerian Kesihatan dan Pendidikan perlu bekerjasama dengan harapan  dapat mengurangkan stigma dan diskriminasi berterusan terhadap penyakit berkaitan mental," tambah Dr Shaeraine yang kini Registrar Psychiatrist di Royal College of Surgeons Ireland (RCSI).

Menjelaskan lagi mengenai keseriusan penyakit mental, Dr Shaeraine yang dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan, berharap lebih banyak kempen antistigma dan ceramah pendidikan awam mengenai gejala-gejala dan rawatan penyakit mental diadakan di seluruh negara.

Selain itu, pihak media juga memainkan peranan penting dalam menghebahkan perkara-perkara  berkaitan kesihatan mental kerana kuasa media boleh memberi kesan dalam membentuk pendapat umum, katanya.

Beberapa jenis penyakit mental yang paling biasa dialami adalah kemurungan, cemas, skizofrenia, alzheimer, bipolar, gangguan tekanan selepas trauma (PTSD), gangguan obsesif-kompulsif (OCD) dan tingkah laku akibat ketagihan.

Mengikut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015  Kementerian Kesihatan, sejumlah 4.2 juta rakyat Malaysia berusia lebih 16 tahun mengalami beberapa bentuk penyakit berkaitan mental.

Malangnya, menurut Majlis Perubatan Malaysia (MMC),  hanya ada seorang psikiatri untuk setiap 150,000 orang dan seorang psikologi untuk setiap 100,000 orang di Malaysia.

Menurut Dr Shaeraine, dianggarkan tiga hingga 10 pekerja di sesuatu tempat kerja akan mengalami masalah mental dalam mana-mana satu tahun.

Laporan Pelan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia 2016-2020, menyatakan hanya 10 peratus daripada pesakit berkaitan mental mendapat pekerjaan setelah menjalani program Sokongan dan Penempatan Individu - Sokongan Pekerjaan( IPS-SE ), yang diperkenalkan oleh kerajaan.

"Tempat kerja perlu menekankan aspek kepentingan kesihatan mental dengan memupuk kesedaran dan menolak stigma berkaitan penyakit berkenaan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa tempat kerja mempunyai banyak kelebihan untuk menggalakkan pengetahuan mengenai kesihatan mental termasuk akses kepada kumpulan sasaran, golongan yang mungkin mengalami beberapa bentuk kemurungan atau kecelaruan mood manik-depresif.

"Ini termasuk akses bagi kumpulan kerja yang padu seperti pengurusan tekanan, latihan berkemahiran dan sokongan untuk menggabungkan pesakit berkaitan mental untuk kembali ke tempat kerja," jelas beliau.

Penyebab utama kebimbangan yang didapati tidak dipertimbangkan atau diberi perhatian adalah hakikat bahawa bekerja untuk jangkamasa lama saban hari akan memberi kesan mendalam kepada kesihatan mental seseorang.

"Tubuh menaikkan hormon tekanan, tahap kortisol yang tinggi akan menyebabkan gangguan dalam pembelajaran, daya ingatan, mengurangkan fungsi imun, kepadatan tulang, peningkatan berat badan, tekanan darah, kolesterol, penyakit jantung dan mengurangkan jangka hayat," kata doktor itu.
 
Menjelaskan keadaan itu daripada perspektif seorang doktor, Dr Shaeraine mencadangkan lima pilihan gaya hidup ringkas untuk mengurangkan tahap kortisol iaitu aktiviti fizikal biasa, keprihatinan, hubungan sosial, ketawa dan tidak terlalu banyak fikir dan terapi muzik.

"Untuk aktiviti fizikal biasa, kick boxing, berlawan secara latih tanding atau menggunakan beg tumbuk adalah cara yang hebat untuk mencipta semula 'pergaduhan' dengan melepaskan serangan  (tanpa mencederakan sesiapa).

"Cara lain untuk mengurangkan tahap kortisol adalah melalui meditasi dengan mengambil 10 minit untuk ruang pernafasan, di mana beberapa nafas melibatkan saraf vagus yang mencetuskan isyarat dalam sistem saraf anda untuk melambatkan kadar degupan jantung, menurunkan tekanan darah dan mengurang kortisol," katanya. - Bernama