SINGAPURA – Ruang udara Singapura akan di­sekat semasa sidang kemuncak Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara pada minggu hadapan, demikian menurut pihak berkuasa penerbangan Singapura kepada para juruterbang semalam.

Singapura meningkatkan langkah keselamatan di seluruh pulau itu selaku tuan rumah pertemuan bersejarah antara Presiden AS, Donald Trump dan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada 12 Jun ini.

Notis disiarkan di laman web Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) itu menyatakan, ruang udara Singapura akan menjadi zon larangan sementara dari 11 hingga 13 Jun ini.

“Semua pesawat yang tiba di Lapangan Terbang Changi perlu mengurangkan kelajuan dan berdepan beberapa sekatan penggunaan landasan atas sebab keselamatan,” kata notis itu.

Notis berasingan di laman web ICAO memberi amaran kepada juruterbang supaya menjauhi Pangkalan Udara Paya Lebar yang merupakan kemudahan tentera di timur Singapura dan pernah digunakan oleh Trump dalam lawatannya sebelum ini.

Menurut notis sama, pesawat yang melanggar larangan tersebut akan dipintas.

Sebagai sebahagian persiapan menjelang sidang kemuncak tersebut, Singapura turut menetapkan beberapa lokasi ter­tentu di bandar raya itu sebagai ‘kawasan acara khas’ bermula dari 10 hingga 14 Jun ini.

Ia termasuk kawasan tengah yang menempatkan Kementerian Luar Singapura, Kedutaan AS dan beberapa hotel di sam­ping Pulau Sentosa di mana sidang kemuncak itu dijadualkan berlangsung.