Republik berkenaan pada 1 Jun, meminta kerajaan Malaysia melalui saluran diplomatik mengesahkan kedudukan Malaysia berhubung projek berkenaan.

Memetik Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon di Parlimen hari ini, The Straits Times melaporkan bahawa sehingga kini, Singapura masih belum menerima jawapan balas dari kerajaan Malaysia. 

Boon berkata, kenyataan awam yang dibuat oleh menteri Malaysia dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui pelbagai temubual media berhubung penamatan projek berkenaan, tidak disusuli dengan sebarang komunikasi rasmi dengan kami.”

“Justeru, pada masa ini, kami tidak mempunyai pilihan tetapi meneruskan apa yang sepatutnya menurut perjanjian dua hala berkenaan dan terus menanggung lebih banyak kos," katanya.

Laporan itu menyebut, pada Jun, Singapura menanggung lebih daripada S$6 juta (RM17.8 juta) dan menjangka menanggung tambahan S$6 juta pada Julai ini. 

“Kos ini akan meningkat dengan tinggi selaras masa. Dari Ogos hingga penghujung Disember, kami perlu membelanjakan sekurang-kurangnya S$40 juta (RM119 juta) atau lebih.

“Memandangkan kos yang kami tanggung akan menambah kepada keseluruhan jumlah pampasan adalah menjadi tanggungjawab Malaysia untuk memaklumkan secara rasmi kedudukannya berkenaan projek HSR lebih awal bagi meminimakan jumlah yang terbabit,” jelas Boon lagi.

Menteri Pengangkutan turut menyuarakan pertimbangan itu kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 'sewaktu beliau menghubunginya pada 6 Jun'.

Boon berkata, Singapura sudah membelanjakan lebih daripada S$250 juta (RM745 juta) untuk projek berkenaan.

Terdahulu, laporan berkenaan menyatakan, Menteri Luar, Vivian Balakrishnan memberitahu Parlimen bahawa sekiranya Malaysia menamatkan projek HSR, Singapura akan mengadakan rundingan berhubung persoalan pampasan terhadap kos yang ditanggung, menurut perjanjian yang dimeterai dengan Malaysia serta undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan Singapura bertanggungjawab dalam menjaga dana awam dengan mendapatkan kembali kos berkenaan,” katanya. - Bernama