"Kami tidak menerima sebarang cadangan atau komunikasi rasmi dari Malaysia berkaitan laluan ketiga antara Singapura dan Malaysia," kata jurucakap Kementerian Pengangkutan Singapura dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata kerajaan Johor berhasrat untuk membina laluan ketiga itu bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan tersebut perlu terlebih dahulu dikemukakan kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan.

Rancangan berkenaan bertujuan menghubungkan Pengerang, Johor dengan Pulau Ubin, Singapura menerusi jambatan sepanjang tiga kilometer dan sebuah terowong dasar laut. - Bernama