Dalam tangkapan pada pukul 12.30 malam itu, pemandu pengangkut kontena, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, hasil pemeriksaan terhadap kontena itu mendapati terdapat 22,500 karton rokok putih berjenama U2 dan 1,228 karton minuman keras berjenama Heineken.

“Hasil imbasan mendapati barangan yang dibawa tidak sama dengan barangan yang diikrarkan dan dipercayai masih tidak diluluskan oleh pihak Kastam.

“Sebanyak 4.5 juta batang rokok yang bernilai RM360,000 manakala minuman keras dirampas dianggarkan berjumlah 14,700 liter bernilai RM70,500,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Zon Tengah, Kelana Jaya di sini hari ini.

Zulkurnain menambah, modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk kontena dari negara jiran dengan membuat pengiktirafan palsu.

“Mereka mengaburi pihak berkuasa dengan mengikrarkannya sebagai bir tetapi sebenarnya ia adalah minuman keras dan rokok putih.

“Suspek yang ditahan adalah seorang pemandu kurier kontena dan kita masih menyiasat sejauh mana penglibatannya dengan sindiket berkenaan,” ujarnya.

Lelaki tersebut kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport tanpa permit sah.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barangan boleh menghubungi pihak Kastam di talian 1800 8888 55 atau di laman web aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam berhampiran. - K! ONLINE