Kesemua suspek ditahan susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa dirinya ditipu seorang lelaki disyaki 'Ah long' pada 5 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa yang bekerja sebagai jurujual mengenali suspek di laman sosial Facebook sebelum berjumpa dengannya untuk mendapatkan wang pinjaman berjumlah RM1,000 di sekitar kawasan Sentul.

"Mangsa kemudian telah diarahkan untuk membuka akaun bank sebelum menyerahkan kepada suspek kononnya untuk memudahkan potongan bayaran balik pinjaman.

"Sebaik pinjaman tersebut selesai, mangsa telah dimaklumkan pihak bank bahawa akaun miliknya disekat ekoran terdapat transaksi kemasukan wang hasil penipuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, satu serbuan telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Jinjang, Bandar Baru Sri Petaling dan Taman Sri Indah.

"Serbuan terbabit telah berjaya menahan tujuh suspek warga tempatan berusia 21 hingga 42 tahun dan merampas 72 keping kad bank serta 58 keping kad sim pelbagai talian dipercayai untuk kegiatan penipuan.

"Semakan awal mendapati, kesemua suspek disyaki terlibat dengan 11 kes penipuan manakala ketua sindiket mempunyai satu kes jenayah lampau berkaitan dadah," ujarnya.

Tambahnya, jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM299,570 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE