Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, serbuan dilakukan oleh sekumpulan 13 pegawai serta beberapa wakil daripada pemilik cap dagang berdaftar susulan maklumat dan hasil risikan yang dilakukan.

"Serbuan telah dilakukan di lima buah premis iaitu di Kampung Kerdas, Sungai Besi, Taman Bukit Teratai, Taman Maluri dan Taman Komersial Pandan Indah.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kelima-lima premis berkenaan telah menemui sejumlah barangan seperti katrij serta dakwat mesin pencetak yang menggunakan perihal dagangan palsu seperti jenama Samsung, HP, Brother dan Canon.

"Susulan penemuan tersebut, kami telah merampas sebanyak 739 unit katrij serta dakwat mesin pencetak pelbagai jenama bernilai kira-kira RM78,674 dan menyita satu set komputer juga beberapa mesin pencetak beberapa jenama," katanya pada satu sidang akhbar di stor KPDNHEP Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Azeem, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membeli katrij terpakai dan melakukan pengisian semula sebelum dijual kepada pelanggan dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

"Sindiket ini diketahui telah aktif sejak setahun lalu dan membekalkan katrij-katrij tiruan buatan mereka kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang berdasarkan permintaan.

"Susulan serbuan yang dilakukan, seramai enam individu termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 35 tahun yang berperanan sebagai pemilik premis dan pekerja telah dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan," jelas beliau.

Tambah Azeem, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 dan proses merakamkan keterangan daripada keenam-enam individu terlibat masih lagi berjalan.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2019 terdapat sebanyak 62 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 melibatkan jumlah sitaan sebanyak 52,963 unit dan nilai sitaan mencecah kira-kira RM1,984,008. - K! ONLINE