Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan itu berusia 40 dan 57 tahun.

Menurutnya, sindiket itu dikesan aktif melakukan penipuan tersebut sejak awal tahun ini dan sehingga kini lebih 40 individu menjadi mangsa membabitkan kerugian lebih RM1.34 juta.

"Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor berjaya membongkar dan menumpaskan satu sindiket yang menghasut orang ramai supaya menjadi ahli pertubuhan yang menyalahi undang-undang selain menjual darjah kebesaran negeri.

"Sindiket terbabit mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 kepada mangsa untuk menyertai pertubuhan itu dan RM180,000 hingga RM280,000 bagi mendapatkan darjah kebesaran bagi mendapatkan gelaran 'Datuk' serta 'Datuk Seri'," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, pihaknya kini memburu seorang lagi ahli sindiket, Mohamad Faizal Abdul Rahman, 33, bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 471 Kanun Keseksaan, Seksyen 45(1) Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 15(2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017. - K! ONLINE.