Kekalahan 1-2 kepada gergasi Asia, Korea Selatan dalam pertembungan aksi suku akhir itu bukan sesuatu yang harus di­ratapi. Sebaliknya, Kim Swee dan skuad muda negara boleh berbangga dengan lakaran sejarah yang telah dicipta mereka.

Kejayaan menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik pada kejohanan itu sudah membuktikan betapa Malaysia juga mampu menyaingi pasukan-pasukan handalan di rantau Asia. Tiada apa yang harus dimalukan kerana anda sudah membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Penulis sendiri sudah terba­yang-bayang, jika pertemuan Malaysia dan Korea Selatan itu melibatkan skuad senior, tidak kira dalam kejohanan apa pun, ia pasti lebih mengujakan kepada seluruh penyokong dan peminat bola sepak Malaysia. Apa tidaknya, sudah lama kita tidak dapat me­nyaksikan perseteruan kedua-dua pasukan kerana Malaysia pernah dilabel antara gergasi Asia sekitar tahun 1950-an hingga 1980-an.

Berbalik cerita di Kunshan, anggap sahaja kegagalan itu sebagai satu permulaan bagi mencipta DNA baharu bola sepak Malaysia. Kekalahan itu bukan satu penamat atau juga bukan satu pengakhiran cerita buat Kim Swee dan anak-anak buah­nya. Perjalanan cerita anda masih lagi panjang.

Jadikan skrip cerita di Kunshan itu sebagai satu pengalaman dan senjata terbaik bagi mengharungi kejohanan-kejohanan akan datang. Perlu kita ingat, hanya dengan pengalaman akan mematangkan seseorang itu.

Prestasi cemerlang walaupun bermula dengan langkah kiri pada kejohanan itu harus dilihat dari sudut pandangan positif. Biarpun dilabel sebagai pasukan underdog, barisan muda negara telah menampilkan semangat juang yang cukup tinggi sepanjang mengharungi kejohanan tersebut.

Selain percaturan Kim Swee, penulis harus akui bahawa dengan semangat dan komitmen tinggi itulah yang telah membawa skuad muda negara mara ke peringkat suku akhir. Siapa sangka, Malaysia mampu beraksi sehingga sai­ngan suku akhir tatkala awal-awal lagi anak-anak buah Kim Swee tidak diberi harapan tinggi.

Kejayaan itu ternyata membuka mata ramai pihak betapa langkah Kim Swee anak-anak buahnya kini tidak boleh lagi di pandang sepi. Bagi kalangan penyokong, peminat dan pemerhati bola sepak tanah air, mereka sudah mendambakan jalan cerita sebegini. Bak kata mereka, biar kalah tapi kalah bermaruah.

Mungkin tidak keterlaluan juga jika penulis katakan inilah skuad masa depan Malaysia. Jika kena dengan ramuannya, penulis tidak teragak-agak untuk mengatakan skuad muda negara mampu melangkah lebih jauh seterusnya mengharumkan nama Malaysia suatu hari nanti.

Nama-nama seperti Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria, Nor Azam Abdul Azih, N. Thanabalan, Akhyar Rashid, Safawi Rashid, Syazwan Andik Ishak, Matthew Davies, Dominic Tan, Danial Amier Norhisham, Haziq Nadzli­ dan beberapa lagi ‘ubi’ muda dilihat mempunyai potensi yang cukup besar. Mereka sudah mula menunjukkan kematangan di tengah padang walaupun Akhyar misalnya, baru berusia 18 tahun.

Melihatkan senarai 23 pemain yang dibawa ke China, penulis juga harus memberi pujian kepada Kim Swee kerana berani mempertaruhkan beberapa pemain yang berusia antara 17 hingga 19 tahun. Haziq Nadzli, Hadi Fayyah Abdul Razak, Shivan Pillay Asokan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syahmi Safari antara pemata baharu bola sepak Malaysia. Bakat serta kualiti mereka hanya perlu diasah lagi dan tidak mengejutkan jika nama mereka pula ‘meletup’ dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

Bukti sudah ada di depan mata. Barisan sedia ada terma­suk saf kejurulatihannya harus dikekalkan. Kejayaan menumbangkan Arab Saudi 1-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan selain kemampuan menyaingi kehebatan Korea Selatan membuktikan kualiti yang dimiliki anak-anak buah Kim Swee.

Bagaimanapun, Kim Swee masih mempunyai ‘kerja rumah’ yang banyak bagi membentuk skuad yang benar-benar digeruni sebaris gergasi Asia lain. Kepada penyokong dan peminat di luar sana, berilah masa kepada Kim Swee dan juga pengendali skuad senior negara, Tan Cheng Hoe mencari ramuan terbaik untuk kembali mengangkat martabat bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Penulis percaya jika kena gaya­nya, ada sinar baharu dalam bola sepak Malaysia suatu hari nanti.