Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Superintendan Markandan Subramaniam berkata, hampir 60 peratus mangsa yang terlibat kemalangan tidak mempunyai lesen serta tidak mematuhi peraturan jalan raya.

"Kita kenal pasti faktor yang menjadi penyumbang utama kemalangan maut ialah terbabas, masuk laluan bertentangan, serta cubaan memotong kenderaan.

"Harapan saya, pengguna perlulah memainkan peranan masing-masing dalam mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini ," katanya kepada pemberita selepas Ops Selamat 13/18 di Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dekat Labok, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Markandan berkata, sejak Op Selamat dilancarkan pada 8 Jun lalu, sebanyak 7,151 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di negeri ini.

"Saman yang dikeluarkan sejak operasi berjalan selama 14 hari itu melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya memandu melebihi had laju dibenarkan, tiada lesen, tidak memakai tali pinggang keledar dan topi keledar serta memotong garisan berkembar.

"Berdasarkan statistik Op tersebut, Kelantan merekodkan 28 kematian akibat kemalangan. 23 kes daripada jumlah keseluruhan 808 kes adalah membabitkan kemalangan maut," ujarnya. 

Tambah Markandan , pihaknya akan meneruskan penguatkuasaan dan berkempen bagi meningkatkan kesedaran kepada pengguna jalan raya.

"Saya juga amat menghargai dan berterima kasih kepada semua anggota kita yang telah bertugas sepanjang Op Selamat dijalankan ," ujarnya. - K! ONLINE