Hakikatnya, memang begitu ramai manusia yang suka melihat kesalahan orang lain, sebaliknya tidak sedar dan akui kelemahan diri sendiri.

Kita ambil contoh kisah pengacara terkenal, Ally Iskandar yang berkahwin buat kali kedua dengan wanita dari Temerloh, Pahang, bernama Marlina Ibrahim, baru-baru ini. Lucunya, ramai pula ‘pemikir songsang’ yang membuat andaian kenapa Ally berkahwin dengan wa­nita lain dan tidak kembali kepada bekas iste­rinya, Farah Lee.

Adalah lebih molek sekiranya mulut yang berkata-kata itu, mendoakan sahaja kebahagiaan pasangan berkenaan daripada menyenaraikan pelbagai andaian negatif.

Ironi, manusia yang suka menyenaraikan kesalahan orang lain ini, ada di mana-mana. Dalam dunia pekerjaan misalnya. Akan ada sekelompok orang yang merasakan dirinya bagus dan memperkotak-katikkan orang lain.

Sepatutnya, kita tidak mencari salah orang, sebaliknya kita banyak melihat di mana kelemahan diri dan bagaimana untuk memper­tingkatkan prestasi kerja.

Pakar motivasi terkenal, Profesor Dr. Muhaya Mohamad, pernah menyenaraikan tiga perkara yang kita perlu elakkan berada dalam hati kita.

Pertama, jangan bersaing, sebab akan me­nimbulkan rasa iri hati, dendam dan cemburu. Kalau kita bersaing untuk mendapatkan sesuatu jawatan misalnya, kita akan kecewa apabila kita tidak dapat.

Kedua, jangan berasa kita penting. Kalau kita berasa diri kita penting, akan menimbulkan rasa bongkak dan keegoan yang tinggi. Kita akan marah apabila orang tidak memberikan penghormatan kepada kita atau tidak melayan kita dengan sepatutnya, selaras dengan apa yang telah kita sumbangkan sebagai pekerja.

Ketiga, jangan mengharapkan penghargaan. Kita akan kecewa apabila sumbangan kita orang tidak nampak, orang melupakan dan tidak menyebutnya.

Seelok-eloknya bekerjalah dengan rajin, jujur dan dengan pemikiran yang positif kerana itu adalah kunci kebahagiaan diri.

Seorang pekerja yang bagus, dia akan sentiasa sematkan dalam diri bagaimana hendak pertingkatkan produktiviti kerjanya.

Bahkan pandangan kebanyakan pakar motivasi juga mengatakan, 80 peratus kejayaan dalam hidup ini bergantung pada sikap, 19 peratus kejayaan bergantung pada ilmu dan hanya satu peratus bersandar pada nasib.

Selebihnya, apa-apa yang berlaku kita percaya sebagai takdir serta qada dan qadar Allah SWT.