Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah, ibu bapa seharusnya memainkan peranan mendidik perkara itu, sejak anak masih berusia muda supaya ia menjadi kebiasaan. 

"Kesedaran dalam menjaga kebersihan di kawasan awam masih berada di tahap rendah walaupun banyak aktiviti kebersihan dijalankan oleh banyak pihak, sama ada oleh agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO). 

"Saya berharap aktiviti 'plogging' melalui usaha NGO Youth For Change seperti hari ini, dapat mendidik orang ramai untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan di tempat awam," titah baginda selepas berkenan mencemar duli menyertai NGO berkenaan di Pantai Sepat di sini hari ini, yang mana 'plogging' adalah gabungan jogging dengan mengutip sampah. 

Program itu bermula sebagai aktiviti teratur di Sweden sekitar 2016 dan merebak ke negara lain pada tahun 2018, berikutan peningkatan kebimbangan mengenai pencemaran plastik. 

Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah berkata, program yang disertai 1,000 orang dari agensi kerajaan dan pelajar sekolah mengutip 1.05 tan sampah, yang kebanyakannya styroform, akan diteruskan di Teluk Chempedak, Balok, Indera Mahkota sebelum kembali ke Pantai Sepat. - Bernama