Menjadi kebanggaan Indonesia, Lalu dilihat sebagai permata baharu acara pecut untuk negara yang memiliki populasi 264 juta penduduk itu dan memikul harapan besar untuk menjadi pelari terpantas di Asia Tenggara pada Sukan SEA Manila November nanti.

Atlet berusia 19 tahun itu mula menjadi bualan hangat selepas mencatat masa terbaik peribadi pada aksi pra Sukan Asia 2018 sebelum namanya melonjak ketika merangkul pingat emas pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2018 di Gifu, Jepun dengan me­lakukan catatan 10.27 saaat (s).

Pada awalnya, Lalu mahu menjadi pemain bola sepak tetapi seorang guru di sekolahnya telah mengesan bakatnya selepas mendapati dia memiliki bentuk kaki dan postur badan seorang atlet pecut.

Selepas meraih kemenangan di Gifu, Lalu menyertai latihan pusat di Amerika Syarikat (AS) selepas dipilih oleh Persatuan Atletik Seluruh Indonesia dan menunjukkan peningkatan yang ketara.

Berangkat ke Finland untuk menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2018, Lalu lolos untuk beraksi pada saingan akhir dan lorong kelapan Stadium Tempere benar-benar membawa tuah apabila dia muncul juara dengan catatan 10.18s

Kembali ke Jakarta, Lalu mara ke pentas final acara berkenaan pada temasya Sukan Asia 2018 tetapi sekadar menamatkan la­rian di kedudukan ketujuh, namun dia bangkit membantu kuartet 4x100m negaranya untuk merangkul pingat perak.

Awal pagi Selasa lalu, bertempat di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar, Lalu sekali lagi menggegarkan dunia olahraga Indonesia dan Asia Tenggara apabila melalukan catatan 10.15s pada aksi separuh akhir.

Catatan tersebut sekali gus memadamkan rekod kebangsaan Indonesia 10.17s yang dilakukan oleh Suryo Agung Wibowo pada temasya Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos.

Kurang 24 jam selepas aksi separuh akhir itu, Lalu yang seakan tidak puas dengan catatan tersebut sekali lagi memadam catatan awal apabila merekodkan 10.13s pada aksi final tetapi terpaksa menerima hakikat apabila sekadar merangkul pingat perak.

Dia tewas kepada pelari Jepun, Yoshihide Kiryu yang merupakan atlet Jepun pertama yang mampu melakukan catatan bawah 10s dalam acara 100m menerusi rekod peribadi terbaik 9.98s.

Bagaimanapun, catatan 10.13s yang dilakukannya itu secara tidak rasmi menobatkannya sebagai pelari terpantas di Asia Tenggara ketika ini kerana Suryo Agung sebelum ini memegang rekod Indonesia dan Sukan SEA.

Ketika ditanya apakah sasaran seterunya, Lalu memberitahu: “Saya mahu beraksi di pentas Olimpik Tokyo 2020 secara merit. Saya yakin mampu untuk melakukannya kerana tiada apa yang mustahil,” jelasnya.

Sebagai rekod, untuk layak beraksi di pentas Olimpik, Lalu perlu melakukan catatan masa 10.05s.

Rentetan cerita cemerlang yang dikecapi Lalu seharusnya menjadi signal kepada pihak berkenaan bahawa ada kerja keras yang seharusnya sudah bermula jika mahu menandingi Lalu.

Mengharapkan Khairul Hafiz terus kekal sebagai raja pecut Sukan SEA tidak cukup jika tiada usaha yang jitu untuk membantunya meningkatkan prestasi.

Selepas kali terakhir memecahkan rekod Malaysia milik Watson Nyambek yang berusia 18 tahun pada Sukan Malaysia 2016 di Sarawak melalui catatan 10.18s, Khairul Hafiz belum berjaya untuk melakukannya lagi.

Catatan paling hampir pernah dilakukannya adalah 10.24s pada 2017 dan tahun lalu 10.28s menjadi rekod tahunan terbaiknya untuk musim lalu.

Sebagai rekod, setakat tahun ini Khairul Hafiz masih belum menyertai sebarang kejohanan kompetitif akibat mengalami kece­deraan menyebabkan perancangan untuknya terbatas.