Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya menjangka akan menyiapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat sebelum menghantarnya kepada Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun katanya, siasatan berhubung satu lagi kes pembelian sebuah hotel mewah di Kensington, London masih lagi dalam proses penyiasatan.

"SPRM akan membuatkan permohonan kerjasama bersama dengan pihak di London untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bagi proses siasatan tersebut.

"Permohonan itu akan dibuat dengan Jabatan Peguam Negara nanti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) 3.0 Borneo di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.

Kosmo! pada Julai lalu melaporkan SPRM sedang menyiasat pembelian sebuah lagi hotel bertaraf empat bintang oleh FIC di Kuching, Sarawak pada harga jauh lebih tinggi daripada asal.

Maklumat awal yang diterima oleh pasukan penyiasat menunjukkan pembelian hotel tersebut telah mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit kepada FIC.

Pasukan penyiasat kini sedang menilai maklumat-maklumat yang diterima dan sudah ke pejabat FIC di beberapa lokasi untuk mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan pembelian hotel tersebut. - K! ONLINE