Siapa pilihan pengundi antara empat calon yang bertanding iaitu M. Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Ramli Mohd. Nor daripada Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas, Sallehudin Ab. Talib dan Wong See Yee.

Siapa pun yang menang, ia tidak akan mengubah apa-apa. PH akan terus mentadbir negara manakala BN kekal sebagai pembangkang.

Namun, kedua-dua parti politik itu mahu kemenangan menjadi milik calon mereka bagi meneruskan agenda masing-masing. Bagi PH, mereka perlu menang untuk mengekalkan momentum sekali gus membuktikan bahawa sokongan rakyat kini berpihak kepada mereka.

Namun, misi itu dianggap sukar kerana Parlimen Cameron Highlands secara tradisinya milik BN. Tambahan pula, imej PH sedikit tercalar selepas dikaitkan dengan beberapa kes antaranya pemberian wang, penggunaan jentera kerajaan dan ugutan kepada Tok Batin.

Sebaliknya, peluang BN agak cerah meskipun mereka dilihat cukup ter­desak ketika ini. Mereka melakukan pelbagai cara untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Mereka mahu membuktikan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengumumkan kerusi Parlimen Came­ron Highlands yang dimenangi Datuk C. Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terbatal dan tidak sah pada November tahun lalu adalah tidak tepat.

Kemenangan Sivarraajh pada 9 Mei tahun lalu bukan kerana dia memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada masyarakat Orang Asli melalui ketua kampung untuk memastikan mereka mengundi calon BN tetapi BN memang sudah sebati dalam hati pengundi di Ca­meron Highlands.

Buat julung-julung kalinya, kerusi yang secara tradisinya menjadi milik MIC itu ‘dipinjamkan’ kepada UMNO bagi memastikan mereka menang dengan majoriti yang lebih besar.

Selain keyakinan MIC yang turun 50 peratus, rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Petaling Jaya yang mengorbankan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim turut menipiskan lagi peluang mereka melakar kemena­ng­an. Justeru, BN menaruh keyakinan yang tinggi kepada calon mereka iaitu Ramli yang merupakan bekas pegawai kanan polis yang juga wakil kaum Orang Asli.

Kelebihan juga berpihak kepada BN selepas Pas mengarahkan ahlinya mengundi calon BN. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perkara itu sudah jelas kerana lawan BN pada PRK tersebut iaitu calon PH adalah musuh utama Pas.

Jika PH mengharapkan aura Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut berkempen pada hari terakhir semalam, BN pula meletakkan keyakinan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang semakin mendapat perhatian dan sanjungan warga internet sejak akhir-akhir ini.

Najib dinobatkan sebagai ‘Raja Troll’ selepas hantaran beliau ke media sosial kini menjadi tular dan berpe­ngaruh. Setiap hari, pasti ada sahaja ‘post’ yang lucu dikongsi di media sosial terutamanya Facebook dan Twitter. Namun, beliau perlu berhati-hati kerana tidak semua lawak yang dilakukan itu ada ‘punchline’. Jangan terlalu ghairah sehingga membuat lawak ‘bodoh’ yang akhirnya memalukan diri sendiri.

Kesimpulannya, PRK Ca­meron Highlands ini cukup penting kepada PH dan BN. Masing-masing berharap agar calon mereka memenangi pertandingan ini.

Jika dilihat kepada komposisi kaum berdasarkan data demografi PRU-14 yang lalu, pengundi Melayu sebanyak 33.44 peratus, Cina (28.42 peratus), India (14.42 peratus) dan lain-lain yang keba­nyakannya Orang Asli, 23.67 peratus.