Shopee dalam satu kenyataan berkata, tinjauan data lelaki di Shopee itu bagi mengkaji kecenderungan pembeli lelaki dalam kategori tertentu.

“Aktiviti membeli-belah peranti dan peralatan mudah alih meningkat sebanyak 10 peratus antara pukul 8 malam dan 9 malam menunjukkan pengguna lelaki mahu membeli gajet dan aksesori mereka selepas waktu kerja,” jelas kenyataan Shopee hari ini.

Malah tambah kenyataan itu, ramai yang sanggup berbelanja lebih RM400 untuk membeli jam tangan bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga untuk teman wanita, adik, kakak dan isteri kerana jam tangan wanita adalah antara produk yang paling kerap dibeli oleh pembeli lelaki.

Shopee turut meramalkan peningkatan pesanan bagi pomade, serbuk pemutih gigi  dan juga pupur muka, menjadikan kategori Kesihatan dan Kecantikan kedua paling dikunjungi oleh pembeli lelaki.

“Kaum lelaki kini mula memanfaatkan teknologi untuk melakukan kerja rumah memandangkan perbelanjaan besar yang dibuat ke atas barangan mahal seperti pembersih vakum robot yang menelan belanja lebih RM1,050,” jelas Shopee.

Platform itu turut memberitahu, bagi menghargai pembeli lelaki, mulai 21 Februari, Shopee akan memperkenalkan portal dalam aplikasi baharu khas untuk lelaki di laman utama Shopee dengan pengisian yang diperbaharui setiap minggu.

“Aplikasi Shopee for Men itu akan berusaha mempermudah pengalaman lelaki membeli-belah dalam talian dan menjadi platform sehenti yang memaparkan produk terpilih khas untuk memenuhi keperluan lelaki, “ jelas  Shopee. - K! ONLINE