Pengarah Urusan Sharp Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. (SEM), Ting Yang Chung berkata, penyertaan itu sesuatu diluar jangkaannya seterusnya menunjukkan sikap masyarakat kini yang mementingkan gaya hidup sihat.

Katanya, larian yang berkonsep program kekeluargaan tersebut tidak menyediakan hadiah khusus tetapi para peserta berpeluang membawa pulang sijil penyertaan dan hadiah cabutan bertuah bernilai RM50,000.

"Objektif larian tersebut dianjurkan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara SEM dengan komuniti industri setempat terutama di bandaraya ini.

"Kita juga menggalakkan komuniti setempat mementingkan gaya hidup sihat selain meningkatkan kesedaran komuniti supaya bersatu dan menghayati prinsip rukun tetangga," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Shah Alam Fun Run di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Khairuddin Othman.

Mengulas lanjut, Yang Chung menegaskan larian itu akan melibatkan kawasan di sekitar Seksyen 27 di sini dengan kategori lelaki sejauh 6.5 kilometer (km) manakala perempuan 3 km.

Sementara itu Khairuddin menjelaskan sambutan menggalakkan itu membuktikan rakyat Selangor amnya sentiasa menantikan aktiviti rekreasi seperti larian yang mengukuhkan ukhuwah keluarga mereka. - K! ONLINE