Modus operandi dua sahabat karib yang masing-masing berusia 30 tahun itu tidak berjaya mengaburi mata pihak berkuasa apabila mereka dicekup polis dalam serbuan pada pukul 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya berjaya merampas dadah bernilai RM11,250.

“Antara dadah yang dirampas ialah herion (15 gram), syabu (30 gram) dan 50 biji pil kuda.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, kita menemui satu paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki syabu berada dalam genggaman salah seorang daripada suspek tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, pihaknya kemudian melakukan pemeriksaan lanjut di premis itu dan membawa kepada penemuan tiga botol plastik berisi heroin serta 14 paket mengandungi syabu.

Katanya, 50 biji pil kuda yang diletakkan dalam tiga paket plastik kecil dan 20 tiub straw kecil mengandungi bahan terlarang itu.

“Kedua-dua suspek itu kemudian direman seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (2) ADB 1952 dan Seksyen 39A (1) ADB 1952,” ujarnya.

Abdullah berkata, siasatan awal mendapati dua sahabat karib itu telah lima bulan aktif menjalankan kegiatan tersebut.

Katanya, mereka dipercayai mendapat bekalan dari Rantau Panjang. - K! ONLINE