Ia adalah lumrah yang perlu dihadapi oleh makhluk Allah di muka bumi ini. Tidak terkecuali kita yang bergelar insan menjadi khalifah di dunia yang sementara ini.

Demikian juga penulis yang bakal meninggalkan dunia kewartawanan selepas mengambil keputusan untuk mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Berbaki enam hari sebelum hari terakhir pada tanggal 30 November ini, penulis bertugas di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad.

Dalam ruangan Komentar ini, penulis ingin mengambil kesempatan berkongsi dengan pembaca pengalaman selama 22 tahun bergelar warga Kumpulan Utusan.

Penulis melangkah kaki di sini pada tanggal 1 Julai 1996 dengan memulakan kerjaya di perpustakaan dan kini dikenali sebagai Pusat Maklumat.

Empat tahun kemudian penulis berubah angin me­nyertai Jabatan Pengarang sebagai wartawan kadet Utusan Malaysia sebelum ditukarkan ke pejabat biro di Pulau Pinang pada tahun 2001.

Selepas enam tahun bergelar wartawan Utusan Malaysia, penulis diserap masuk menyertai akhbar kompak Kosmo! yang membuka cawangan pertama di luar Kuala Lumpur.

Setelah tujuh tahun berkhidmat di Pulau Mutiara, pada Januari 2009 penulis ditukarkan ke negeri Jelapang Padi, Kedah sebagai Penolong Ketua Biro.

Ibarat sirih pulang ke gagang, penulis kembali ke Ibu Pejabat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Januari 2014 dan bertugas di Meja Sukan.

Sepanjang berkhidmat penulis pernah membuat liputan Sukan Para Asia di Busan, Korea Selatan pada 2002 dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Penulis juga pernah membuat liputan program bandar raya berkembar antara Pulau Pinang dan Xiamen di China.

Pengalaman 18 tahun sebagai wartawan, penulis sifatkan ia sebagai satu pro­ses pembelajaran yang sangat bermakna dan tidak dapat dinilai dengan duit.

Hanya jauhari kenal manikam. Pahit, manis, suka dan duka menjadi kenangan sepanjang hayat.

Beralih arah dalam bidang perniagaan selepas ini, pengalaman dalam bidang kewartawanan diharap dapat membantu penulis menempuh cabaran besar yang mendatang.

Ketika menceburi kerjaya media, penulis membantu segenap lapisan masyarakat mengharungi kehidupan mereka menerusi paparan di akhbar.

Dalam dunia perniagaan pula penulis memasang impian besar untuk membantu orang ramai menerusi jihad ekonomi.

Ibarat di depan duri dan di belakang api. Perjua­ngan perlu diteruskan dan cabaran perlu ditempuh.

Berbekalkan semangat juang tinggi dan pantang menyerah kalah, penulis percaya rakan-rakan yang memilih untuk mengambil VSS serta sahabat-sahabat yang masih berkhidmat kuat untuk mengharunginya.

Biarpun sukar dan rumit, berkat kesabaran, ketabahan serta bersatu hati, setiap cabaran, halangan termasuk ujian mampu diharungi dengan positif.

Jangan jadikan perbezaan pendapat sebagai penghalang kepada impian besar kita iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Kepada rakan-rakan yang mengambil VSS, selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Biarpun berpisah, namun tali persaudaraan dalam kalangan kita tetap bertaut. Aplikasi media sosial menjadi platform buat kita untuk berhubung agar persaudaraan yang terjalin di bawah bumbung berkekalan sehingga hayat di kandung badan.