Dalam kejadian kira-kira pukul 8.55 malam, kesemua mangsa berusia 9 hingga 50 tahun.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Nurul Azman Muhammadan berkata, seramai 13 anggota termasuk pegawai bersama jentera daripada BBP Kapar dan Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 9.08 malam.

Katanya, sebaik tiba lapan minit kemudian didapati terdapat sembilan individu termasuk dua kanak-kanak dipercayai baru selesai membeli-belah terperangkap dalam lif tersebut dengan keadaan berpeluh namun tiada yang sesak nafas.

"Lif tersebut didapati turun pada kedalaman sehingga 0.6 meter dari aras lobi pasar raya tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal juga mendapati, penggera keselamatan di dalam lif tersebut tidak berfungsi dengan baik sehingga gagal menyambung isyarat kepada bilik kawalan keselamatan pasar raya," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Beliau menambah, situasi itu mengakibatkan pengawal keselamatan tidak mengetahui terdapat pengunjung pasar raya terperangkap sehingga anggota bomba tiba.

Ujarnya, bomba kemudian menjalankan kerja-kerja membuka pintu lif dengan peralatan khas untuk menyelamatkan kesemua mangsa yang terperangkap itu.

"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh lima minit dan operasi ditamatkan pukul 9.55 malam," katanya. - K! ONLINE