Sewaktu proses pemilihan sedang dijalankan, seramai 60 orang anggota telah mengalami strok haba dan terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, proses pemilihan tersebut adalah bagi memilih anggota yang terbaik di kalangan mereka bagi menyertai UTK.

"Perkara sebegitu adalah normal dan sering terjadi  apabila setiap kali sesi pemilihan berjalan di mana ada di antara mereka yang tidak mampu meneruskan cabaran diberikan.

"Mereka bukanlah pelatih baharu seperti yang tular di media sosial malah ada di antara mereka yang telah berkhidmat melebihi lima hingga 10 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Operasi Khas Rondaan Cegah Jenayah - Pelatih Pulapol Kuala Lumpur dan Perasmian Pondok Bit Polis Bantuan di Esplanade KLCC di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Seri Tajufin Md. Isa.

Menurut Mohamad Fuzi, kejadian tersebut berlaku pada simulasi fasa pertama sebelum pemilihan sebenar bermula.

"PDRM akan melihat sekiranya terdapat keperluan untuk menambah baik cabaran dalam setiap sesi pemilihan.

"Bagaimanapun, cabaran yang harus dilalui sebelum dapat menyertai UTK bukanlah mudah kerana integriti PDRM perlu dipelihara dan mereka yang terpilih mestilah yang terbaik," tegas beliau. - K! ONLINE