Sehingga kini mangsa yang membabitkan seorang lelaki dan wanita, Dominick Tan Chang Xiang dan Lum Jie, kedua-duanya berusia 27 tahun, masih belum ditemui.

"Setakat ini, belum ada apa-apa petanda yang membawa kepada penemuan mangsa. Bagaimanapun, kami menolak sebarang unsur jenayah," kata beliau kepada pemberita di pusat operasi SAR di Kampung Seri Gunung Pulai, di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata ramai pengunjung terkeluar dari laluan disediakan untuk melihat keindahan flora dan fauna.

"Kawasan ini satu kawasan rekreasi dan sangat popular kalangan warga tempatan dan antarabangsa terutama membabitkan warga Singapura," kata beliau.

Dipercayai Tan merupakan pendaki yang berpengalaman dan biasa mendaki Gunung Pulai.

Mohd Khalil berkata ini merupakan kejadian pertama membabitkan tempoh melebihi 48 jam kehilangan di kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai.

"Kami tahu mereka ada telefon tetapi tidak dapat dihubungi disebabkan kehabisan bateri. Keadaan cuaca buat masa ini baik membolehkan usaha mencari mangsa dilakukan dengan pembahagian pencarian membabitkan beberapa sektor dan mencari dari sektor ke sektor," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai Mohd Khairi S. Zainudin berkata laluan biasa pendakian dari kaki bukit iaitu berdekatan Kampung Seri Gunung Pulai sehingga ke puncak gunung adalah sepanjang tiga kilometer.

"Jalan utama (kaki bukit) dari lokasi terakhir mangsa (kali terakhir dikesan membuat panggilan kecemasan) iaitu di Bukit 308 kira-kira 1.5 kilometer," kata Mohd Khairi.

Buat masa ini, operasi SAR melibatkan sembilan kumpulan penyelamat dari pelbagai agensi meliputi kawasan pencarian seluas 36 kilometer sekitar Gunung Pulai.

Kedua-dua mangsa dilaporkan memasuki kawasan Gunung Pulai lebih kurang 12.15 tengah hari  Isnin (5 Feb) sebelum pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan daripada mangsa kira-kira 5.55 petang hari yang sama.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan kali terakhir dapat dihubungi pada 10 malam Isnin.

Turut melawat pusat operasi dan keluarga kedua-dua mangsa di pusat SAR di sini ialah Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru Rajpal Singh. - Bernama