Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang diberkati dengan nikmat keamanan, perpaduan, keselamatan, kemakmuran ekonomi di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

"Sesungguhnya perpaduan itu menjangkaui keamanan. Ia adalah prasyarat pembangunan dan kemajuan, maka perlu wujud ikhtiar yang berterusan serta berkesan untuk menyuburkan keamanan dalam fabrik masyarakat kita.

"Sejarah telah membuktikan bahawa melalui perpaduan, Malaysia telah berjaya dibangunkan dengan pemahaman Negara Kesepakatan seperti yang diilhamkan oleh para bapa pendiri bangsa sebelum ini," tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohamad berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) komited untuk meneruskan aspirasi ‘Negara Kesepakatan’ tersebut dengan konsensus, kejujuran dan sikap hormat-menghormati yang memberi makna kepada kerencaman budaya negara. 

Menurut beliau, keamanan dan perpaduan secara asasnya hanya akan dicapai apabila perwakilan politik masyarakat majoriti diperkukuh, ditambah baik dan diperkasakan menerusi wahana yang sewajarnya.

"Sebuah masyarakat Melayu Bumiputera yang bersatu akan menjadi tulang belakang yang kuat kepada Malaysia," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, aspirasi itu harus diterjemahkan dengan kesederhanaan dan ketelitian kerana kerajaan harus memberi keadilan tanpa mengira fahaman politik, bangsa, etnik dan perbezaan lain. 

"Malaysia sebuah negara yang kita bina bersama. Jalan bagi mempertahan dan memperkukuhkan semua ini ada kala berliku, namun kita telah berjaya mengharungi semua itu sejak enam dekad yang lalu," tambahnya. - K! ONLINE