Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sehingga kini, pihak berkuasa itu melaksanakan tugas mengikut peraturan iaitu bertindak selepas menerima aduan termasuk daripada ketua kampung atau orang ramai.

"SOP ini dibuat oleh mereka yang pakar dalam bidang ini, tiada campur tangan orang politik dan dijalankan mengikut peraturan.

"Mengetuk semua bilik dan mengintai itu bukan cara dibenarkan Islam dan kita tidak guna kaedah macam itu," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka di sini, yang juga legasi Allahyarham bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat bakal diuruskan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Mohd Amar berkata pengambilalihan itu adalah atas permintaan keluarga Allahyarham serta pemilik tanah pusat pengajian agama itu.

"Di sini saya mengesahkan YIK akan mengambil alih pengurusan Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka yang kini diuruskan Nik Omar, iaitu anak Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Kami sendiri menerima pemohonan itu daripada keluarga Allahyarham yang mendakwa sebagai pemegang amanah maahad tersebut," katanya. - Bernama