Pengarahnya, Mohd Sabri Yaacob ketika ditemui Bernama enggan mengulas lanjut berkaitan isu tersebut kerana melibatkan dasar Jabatan Penjara.

"Saya tak mahu komen apa-apa. Biar pihak polis menjalankan siasatan," katanya selepas merasmikan majlis perbarisan dan penyampaian sijil tamat latihan Kursus Sijil Asas Pengurusan Penjara (KSAPP) siri 1/2019 di Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia Perlis, Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka di sini, hari ini.

Beliau turut menjadi Pegawai Tabik Hormat kepada 39 pegawai penjara yang mengikuti kursus asas bermula 22 April lepas dan tamat pada hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Profesionalisme Jabatan Penjara Ku Nawawi Ku Hamid dan Pengarah Penjara Perlis Mat Johir Asin @ Hashim.

Semalam, polis menyifatkan tiada unsur jenayah terhadap  tahanan  di Penjara Sungai Petani yang meninggal dunia di HSAH.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dipetik sebagai berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mendapati R.Gopal Krisnan, 21, meninggal dunia disebabkan terdapat jangkitan kuman pada injap jantungnya.

Polis turut mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut meskipun tunangnya membuat laporan polis mendakwa Gopal Krisnan dipukul ketika dalam tahanan, katanya. - Bernama