Dalam serbuan tersebut, kedua-dua suspek berusia 51 dan 54 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada pukul 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V.R. Ravi Chandran berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menjumpai heroin seberat 2.9 kilogram (kg), ganja (2.1 kg) dan syabu seberat 550 gram.

"Ketika serbuan dilakukan, suami isteri itu berada di ruang tamu rumah dan pemeriksaan di kediaman tersebut menjumpai pelbagai jenis dadah seberat 5.6 kg dengan anggaran nilai RM269,250.

"Semakan mendapati, suami isteri tersebut mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap mereka juga positif ganja," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurut Ravi Chandran, dalam serbuan itu juga, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia dengan anggaran nilai RM25,000 selain merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah tersebut dalam paket-paket kecil. - K! ONLINE