Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, pihaknya menggerakkan dua aset iaitu Bot Maritim Penyelamat 7 dan Bot Maritim Kilat 28 ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkaitan. 
 
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Muhamad Afandi  Mohamed, 29, berasal dari Kampung Tok Dosah, Perupok, dekat sini, dikatakan keluar bersendirian memukat ikan pada pukul 4 pagi. 

"Botnya ditemui kira-kira pukul 9 pagi tanpanya yang masih gagal dikesan. Andaian awal, mangsa mungkin jatuh ke dalam laut. Saksi yang ditemui memaklumkan bahawa ternampak satu bot nelayan milik mangsa yang terapung.

“Mangsa tidak berada di dalam botnya. Saksi yang juga nelayan tempatan seterusnya memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa yang turut membuat laporan polis," katanya ketika ditemui di sini hari ini. 
 
Ismail berkata, seramai 31 pegawai dan anggota termasuk empat buah aset laut dan dua buah aset darat daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ini. 

Operasi SAR masih diteruskan bersama  bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan daripada persatuan nelayan setempat. - K! ONLINE