Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa, Mohd. Salimi Mohd. Razali, 34, yang beralamat di Felda Chiku 1 menaiki Proton Wira disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dan cedera parah di kepala.

Mangsa yang cedera, Muhamad Aifa Abdul Halim, 35, dan Mohd. Zamri Mat Ghani, 36, yang bekerja sebagai peraih getah dari Kampung Kuala Sungai di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendean Mohd. Taufik Maidin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca selepas Proton Wira yang dipandu lelaki dari arah Gua Musang ke Kuala Krai gagal memotong lalu bertembung dengan Toyota Hilux dari arah bertentangan.

Katanya, pada masa yang sama, pikap dari arah bertentangan yang dipandu seorang lelaki tidak sempat mengelak sebelum kenderaan itu bertembung.

“Akibatnya, mangsa yang maut tersepit dalam kenderaannya. Manakala, pemandu pikap dan penumpangnya yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan.

“Mangsa yang disahkan maut dibedah siasat di Hospital Gua Musang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.39 petang.

“Seramai 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dalam masa tujuh minit dan mayatnya diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut,” katanya. - K! ONLINE