Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mohd. Isa berkata, Tan Eng Soon, 62, dan rakannya, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang kira-kira pukul 5.40 petang.

"Kedua-dua mereka bersama 15 lagi rakan lain memulakan aktiviti berkayak dari Jeti Penyabong, Mersing pada 10 pagi.

"Kira-kira pukul 5.40 petang, semasa berada antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang di perairan Endau dekat Mersing, mereka dipercayai terpisah dari kumpulan rakan berikutan laut bergelora dan angin kuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Nor berkata, usaha mencari Eng Soon dan Geok Tin dilakukan rakan-rakannya, namun gagal lalu salah seorang daripada rakannya membuat laporan di Balai Polis Rompin, Pahang pada pukul 10.30 pagi tadi.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Eng Soon dan Geok Tin melibatkan empat anggota dari Balai Polis Endau, sebuah bot marin bersama empat anggota, empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta sebuah bot kilat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama lima anggota.

Mohd. Nor berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang.

Sementara itu, Maritim Malaysia menerusi kenyataan berkata, operasi SAR digerakkan pada 3.30 petang tadi dan Pangkalan Hadapan Carilamat turut ditubuhkan di Jeti Penumpang Penyabong, Endau dekat Mersing.

Eng Soon dan Geok Tin menaiki kayak berwarna hijau terang, menurut kenyataan itu. - Bernama