Lakhdir berkata, ancaman keganasan yang dihadapi dunia ini agak rumit sehingga ada pihak menggunakan keganasan sebagai strategi serta taktik politik.

"Semasa bertugas sebagai Konsul-Jeneral di Ireland Utara pada 1960, keganasan serta pengeboman manusia digunakan sebagai taktik politik. Seperti konflik di Sri Lanka penyerang meletakkan bom di badan dan meletupkan tubuh badan mereka untuk tujuan keganasan terhadap komuniti.

"Jadi keganasan ini adalah taktik yang digunakan di dalam pelbagai jenis konflik. Malaysia pula berdepan dengan rakyatnya yang pergi ke Iraq dan Syria sebagai 'penyerang'. Negara ini berdepan dengan konflik apabila dijadikan lokasi transit dan tempat untuk pembiayaan keganasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Peranan Media dalam Menangani Ancaman Keganasan Melampau dan Radikalisasi di sini hari ini. 

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya dan Timbalan Ketua Pengarah 1, Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Kementerian Luar, Shazryll Zahiran. 

Bengkel tiga hari yang dianjurkan bersama oleh MPI, SEARCCT dan Kedutaan AS di Malaysia itu disertai oleh seramai 27 pengamal media tempatan termasuk wartawan Kosmo! Biro Pahang, Ghazali Alias dan wartawan Kosmo! Terengganu, Kamariah Khalidi. - K! ONLINE