Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, jawatan semua Exco tersebut akan dibuat berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu Rabu lalu. 

“Saya akan berbincang dengan semua parti terlebih dahulu secepat mungkin dalam minggu ini dan jawatan tersebut boleh dijangkakan berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti tersebut.

“Jumlah jawatankuasanya tidak banyak bezanya iaitu 10 sama seperti sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini. 

Tambahnya, selepas perbincangan dengan semua parti komponen selesai, beliau akan mempersembahkannya kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diperkenankan. 

Katanya, kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk memansuhkan program yang memberi manfaat kepada rakyat yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini seperti bantuan untuk rakyat kurang berkemampuan menerusi Yayasan Bina Upaya (YBU).  - K! ONLINE