Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini kerana senarai barangan tersebut adalah bersifat dinamik dan organik yang mana kajian berterusan akan dilakukan bagi menentukan impak kepada kutipan hasil kerajaan dan kesejahteraan rakyat.

"Buat masa ini senarai tersebut kita gunakan sebagai asas rujukan, namun kita boleh membuat pindaan mengikut keadaan," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan SST di sini, hari ini.

"Ini supaya ada barangan yang kita rasa cukainya 10 peratus boleh dikurangkan kepada lima peratus atau daripada 10 atau lima peratus boleh kecualikan sama sekali...ini kita boleh pertimbangkan," katanya. 

Ditanya adakah semakan semula senarai barangan untuk kutipan SST akan menjejaskan sasaran kutipan hasil negara, Guan Eng berkata, itu merupakan satu cabaran kepada kerajaan. 

"Tetapi pada saya, ia tidak akan memberi kesan dan impak yang besar, sebab itu kita perlukan masa untuk lihat implikasinya, namun yang penting kita mahu rakyat masih mampu menikmati juadah yang mereka gemari selama ini dan tidak dihimpit oleh cukai ini," katanya.

Ditanya apakah pandangan beliau mengenai harga barangan susulan pelaksanaan SST yang memasuki hari ketiga, Guang Eng menjawab: "Kalau boleh saya mahu harga lagi rendah tapi kita akan terus berusaha".

"Tapi yang penting adalah sekiranya ada kenaikan, saya bukan seperti kerajaan dulu yang cakap bahawa harga pasti akan turun, tetapi sekiranya ada kenaikan impak dan kesannya adalah kurang daripada separuh berbanding pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST)," katanya.

Ditanya adakah peniaga berhak menyaman kerajaan susulan isu tuntutan bayaran balik GST, menteri itu menjawab: "Perkara itu boleh ditanyakan kepada pihak peguam dan itu hak kamu (peniaga)".

"Tapi saya hairan kenapa sejak 2015 sehingga Mei 2018 anda tidak pernah saman kerajaan. Kenapa hanya sekarang anda mahu saman kerajaan ?

Adakah kerana anda lihat kerajaan sekarang sangat mesra dan boleh didekati jadi anda boleh saman?," katanya.

"Kalau peniaga boleh menunggu sejak dua tahun lalu, takkan tidak boleh tunggu lagi tiga bulan (tuntutan bayaran balik GST)," katanya.

Guan Eng sebelum ini memaklumkan bahawa tuntutan bayaran balik GST yang tidak dibayar kerajaan Barisan Nasional sejak 2015 akan dilunaskan kerajaan mulai tahun depan. - Bernama